Wednesday, 9 June 2010

Riadah Bentuk Insan Kamil - Utusan Malaysia


KUALA PILAH 7 Jun - Merempit, melepak, menagih dadah, berpeleseran dan banyak lagi gejala sosial yang tidak mampu dinyatakan satu persatu, kini menjadi ancaman budaya kepada remaja dan belia.

Banyak rentetan yang telah berlaku akibat daripada gejala sosial berkenaan, sehingga berlakunya kes pembuangan bayi, bersekedudukan, penagihan dadah, merokok dan sebagainya.

Berdasarkan kebimbangan inilah lebih 100 remaja berusia 12 hingga 20 tahun telah dibawa ke 'alam perubahan' melalui program Kem Riadah Remaja yang berlangsung di Hutan Lipur Ulu Bendul, di sini, baru-baru ini.

Program anjuran Ahli Jawatankuasa Surau Al Amin Taman Cempaka Fasa 2, Senawang dan Pejabat Agama Islam Daerah Seremban bertujuan untuk membentuk remaja ke arah hidup yang lebih bermakna mengikut lunas-lunas agama.

Bagi peserta, ini adalah peralihan yang amat berkesan untuk memperkukuhkan jati diri mereka menjadi insan baik budi pekerti, saling hormat menghormati dan paling utama, mempunyai pegangan agama yang kukuh.

Seorang peserta, Wan Mohamad Amirul Azmi, 13, berkata, program ini telah memberi banyak pendedahan dan ilmu kepadanya, terutama dalam aspek keagamaan dan peningkatan jati diri.

"Aktiviti ini mencabar, maklumlah ia dibuat dalam hutan rekreasi ini. Tetapi bagi pelajar seperti saya, ia satu pengalaman yang amat berharga. Banyak yang saya pelajari dalam kem riadah ini, apatah lagi ia membabitkan soal keagamaan dan motivasi.

"Hakikatnya, setiap remaja mahupun belia wajar diberikan pendedahan program keilmuan sebegini, kerana banyak sangat cabaran yang berada di luar sana, di mana perlukan tapisan sebaik mungkin agar kita tidak terpesong kelak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Rakannya, Mohd. Nor Nazmi Hamdi, 13, memberitahu, pengalaman berada di hutan rekreasi ini cukup teruja lebih-lebih lagi kita didampingi keindahan flora dan fauna ciptaan Allah SWT.

"Selain berekreasi, kita tidak lupa diajar perihal solat dan berkaitan agama Islam. Seronok juga menyertai program ini," jelasnya.

Shahril Ariff, 13, pula memberitahu, biarpun fasilitator mereka semuanya tegas dan serius, sebenarnya sangat penyayang dan sentiasa berusaha untuk mendidik para pelatih.

"Kami didedahkan dengan pelbagai ceramah oleh guru dan ustaz sepanjang program ini. Apa yang menarik, kami kena bangun seawal 5 pagi dan tentulah, kepada yang tidak biasa ia memeritkan.

No comments: