Oleh: Adli Zakuan Zairakithnaini (Koordinator Meja
ASEAN, GPM)
Penghapusan kaum yang berlaku di Wilayah Arakan,
Myanmar terhadap etnik Rohingya bukan lagi satu perkara yang tersirat dari mata
dunia. Pembunuhan, penculikan, kecurian dan pemerkosaan adalah sebahagian
daripada bentuk jenayah yang dibiarkan berleluasa oleh pihak berkuasa di sana.
Saban hari kita mendengar pelbagai penganiayaan dikenakan terhadap kaum ini.
Krisis ini menjadi semakin parah pada hujung minggu lalu apabila etnik minoriti
ini diberitakan mengalami kekurangan makanan dan dilanda kebuluran.
Global Peace Mission (GPM) dan Angkatan Belia
Islam Malaysia (ABIM) telah mengambil inisiatif untuk menghantar misi bantuan
yang pertama malalui Yangon, Myanmar pada 11 Julai 2012. Misi ini bertujuan
untuk mendapat gambaran menyeluruh berkenaan kejadian di Arakan dan membina
jaringan bagi memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan untuk misi
berikutnya.
Hasil perbincangan dengan beberapa NGO di Myanmar,
beberapa aspek yang merangkumi sejarah, sosial, perundangan dan juga
bukti-bukti kukuh menunjukkan terdapat satu usaha penghapusan kaum di Wilayah
Arakan. Dengan berkuatkuasanya Undang-undang Kerakyatan Myanmar 1982
mengukuhkan lagi kenyataan ini di mana di antara 135 kaum yang diiktiraf
pemerintah, etnik Rohingya tidak termasuk di dalamnya.
GPM bekerjasama dengan NGO-NGO tempatan yang
diiktiraf oleh kerajaan Myanmar yang telah menghantar dan mengedarkan bantuan
kemanusiaan sebanyak 2 kali ke 3 bandar utama kepada mereka yang terkesan
daripada tragedi kali ini terutama etnik Rohingya yang kebanyakannya kehilangan
tempat tinggal dan mata pencarian. Namun begitu, masih terdapat
sekurang-kurangnya 100,000 mangsa yang lain yang kini hidup dikawasan hutan
tebal dan pergunungan bagi mengelak dari terbunuh.
Bagi memenuhi sasaran, GPM dan ABIM dengan
kerjasama Union of NGOs’ of Islamic World (UNIW) yang berpusat di Istanbul,
Turki telah melancarkan Kempen RM200 Satu Keluarga terdiri dari
lima orang dan mensasarkan sebanyak RM 1 juta bagi mempersiapkan 5 bahan asas
keperluan yang terdiri daripada beras, tepung, minyak masak, susu dan kacang
dhal yang bakal dimanfaatkan oleh 25,000 mangsa di sana. Selain bantuan
kemanusiaan, GPM dan ABIM telah merangka beberapa perancangan strategik
termasuk untuk mewujudkan pejabat pengurusan di Yangon bagi melicinkan operasi
penyaluran bantuan yang disalurkan oleh mana-mana individu atau pertubuhan di
Malaysia.
Tabung Ifthar
Ramadhan Rohingya
Melihat pada situasi di Wilayah Arakan yang
serius, ditambah dengan hujan yang berpanjangan, pastinya kaum etnik Rohingya
yang tertindas terpaksa berdepan dengan keadaan sukar dalam menjalankan ibadah
puasa pada bulan Ramadhan. Maka, adalah amat diharapkan agar kita dapat
mengumpulkan dana secepat yang mungkin agar dapat membantu meringankan beban
yang mereka tanggungi.
No comments:
Post a Comment